Visi Misi Presiden LAWSOC Tonggak Kemenjadian Pelajar AIKOL

[VISI MISI PRESIDEN LAWSOC TONGGAK KEMENJADIAN PELAJAR AIKOL]

Segmen ketiga Wawancara Eksklusif: Apa Kata Presiden yang bersiaran secara langsung di laman Facebook dan Instagram Daily Kampus telah menampilkan Saudara Hafiz Wan Zin, Presiden ‘Laws Students Society’ (LAWSOC) sebagai tetamu jemputan. Hafiz dalam meluahkan rasa syukur menyatakan bahawa kepercayaan rakan-rakan seperjuangan merupakan antara faktor utama beliau memenangi kerusi Presiden LAWSOC.

Mengulas mengenai visi dan misi, Saudara Hafiz lebih selesa meletakkan diri beliau bersama visi dan misi LAWSOC yang berpegang kepada beberapa polisi utama. Antaranya, LAWSOC menjadikan kebajikan pelajar sebagai prioriti terbesar. Memberi contoh ‘Emergency Remote Teaching and Learning’ (ERTL) dan ‘study plan’, yang sangat berkait rapat dengan maslahat pelajar-pelajar Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws (AIKOL), LAWSOC bersedia memberikan yang terbaik dalam membantu para pelajar sekalipun ia akan menimbulkan sedikit kesukaran di pihak LAWSOC. Beliau menyatakan bahawa setiap proses perlu mengambil kira semua pihak dan ia perlu diselesaikan secara berperingkat.

“Kami (pimpinan LAWSOC) menganggap semua pelajar AIKOL seperti adik beradik dan LAWSOC sebagai abang sulung yang lebih mudah untuk ‘deal’ dengan ibu ayah (pihak pengurusan kulliyyah).”

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi pengalaman sehari selepas memenangi kerusi presiden, beliau bersama mantan Presiden LAWSOC 18/19 segera berjumpa pihak pengurusan tertinggi universiti untuk mengetengahkan isu jam kredit dan ‘study plan’ pelajar-pelajar AIKOL.

Selain itu, mendukung aspirasi utama penubuhan AIKOL, Hafiz menjadikan hasrat Almarhum Prof. Ahmad Ibrahim iaitu untuk mengharmonikan undang-undang sivil dan shariah sebagai salah satu misi utama dalam pembentukan suasana AIKOL dan warganya. Sistem yang telah diamalkan dalam kurikulum di AIKOL iaitu para pelajar kursus undang-undang sivil dikehendaki agar turut mengambil beberapa subjek shariah adalah bertujuan untuk melahirkan pengamal undang-undang yang bukan sahaja berkemahiran tinggi malah sensitif dan celik terhadap undang-undang shariah sekaligus membentuk produk-produk yang kompeten dalam mengangkat martabat shariah di Malaysia. Selain daripada memastikan para pelajar melakar kejayaan demi kejayaan dalam akademik, penerapan akhlak dan pemikiran yang sejahtera selari dengan tuntutan agama juga menjadi matlamat LAWSOC.

Beliau turut memuji pendekatan yang diambil oleh pihak pengurusan universiti yang bersifat holistik apabila mengambil kira kepelbagaian latar belakang pelajar dalam mengeluarkan kenyataan dan arahan. Saudara Hafiz juga sempat menyelitkan pesanan kepada rakan-rakan seperjuangan khususnya para pelajar AIKOL agar mempersiapkan diri untuk menjalani sesi ERTL bagi memastikan keberkesanannya adalah pada tahap yang optimum.

Daily Kampus – Portal Mahasiswa Anda

Leave a Reply

Your email address will not be published.