UIAM Jalankan Servis Komuniti Bantu Petugas Barisan Hadapan

[UIAM JALANKAN SERVIS KOMUNITI BANTU PETUGAS BARISAN HADAPAN]

GOMBAK, 9 APRIL 2020 – Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Itulah pepatah yang sesuai diibaratkan buat komuniti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terdiri daripada alumni, penuntut, dan pensyarah yang menggembleng tenaga dan kepakaran dalam usaha untuk membantu meringankan beban petugas barisan hadapan.

Terdahulu, sekumpulan pensyarah dengan kolaborasi pakar dan penuntut dari Kuliah Kejuruteraan, UIAM telah menghasilkan pelindung muka untuk kegunaan petugas di dalam kampus, yang terdiri daripada kakitangan Pusat Kesihatan UIAM dan polis bantuan (OSeM). Projek tersebut yang diterajui oleh Centre Unmanned Technologies (CUTe), sebuah pusat penyelidikan untuk pembangunan kolaborasi robot dan manusia, mempunyai tujuh buah mesin pencetak tiga dimensi yang mampu menghasilkan sehingga 140 unit pelindung muka sehari. Pusat CUTe itu juga turut terlibat dengan beberapa lagi projek lain seperti penghasilan ‘Aerosol Box’ dan MediBot. (Sinar Harian, 29 Mac 2020)

Sehubungan dengan itu, UIAM telah menubuhkan kumpulan sukarelawan khas iaitu “IIUM Covid-19 Sewing Brigade” yang terdiri daripada 47 orang pelajar, 6 pensyarah, 24 kakitangan dan tiga orang guru menjahit bagi menghasilkan set lengkap pakaian perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan bagi kegunaan Hospital UIAM di Kuantan, Pahang. Selain itu, PPE turut diagihkan kepada Pejabat Kesihatan Kepong, Titiwangsa, Lembah Pantai, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan serta beberapa hospital dan klinik yang telah dikenal pasti. Usaha tersebut merupakan projek kolaboratif UIAM bersama Sinar Harian sebagai penaja utama material dan Malaysian Relief Agency sebagai wakil untuk agihan sut yang telah disiapkan, selain turut mendapat perhatian dan bantuan pereka fesyen terkenal, Salikin Sidek yang turut sama menyertai pasukan sukarelawan.

Sehingga kini, berkat daripada dana yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia yang prihatin, pihak sukarelawan Tabung CovidSinar telah mampu menyediakan sebanyak 10 gulung kain sepanjang 3,000 meter yang dianggarkan dapat menghasilkan sebanyak 1,000 PPE oleh Briged Penjahit Covid-19 UIAM. Setakat 31 Mac lalu, sebanyak 140 sut pelindung penuh, 32 ‘isolation gown’, 133 pelindung kepala dan 33 pelindung but telah berjaya dijahit dan diagihkan ke hospital dan klinik kesihatan terbabit. (Sinar Harian, 7 April 2020)

Terbaharu, Centre for Unmanned Technologies (CUTe) UIAM tampil pula dengan usaha inovatif dalam menghasilkan prototaip robot yang boleh membantu doktor berdepan dengan pesakit dengan membuat saringan tanpa perlu bersemuka. Robot yang diberi nama MediBot V1-U itu telah dibangunkan oleh sekumpulan pakar robotik dari Kuliah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat Komunikasi. Dengan menggunakan sistem ‘telepresence’ yang membolehkan ia dikendalikan oleh doktor dari jarak jauh, doktor dapat berinteraksi dengan pesakit dengan hanya menggunakan persidangan video dalam talian. Ini sekaligus dapat mengurangkan kontak rapat dengan pesakit yang berisiko. Ia juga dilengkapi dengan sensor termal untuk mengesan suhu badan pesakit dan sistem penggera jika seseorang pesakit mencapai suhu badan yang tinggi, selain mempunyai fungsi semburan nyahkuman menggunakan sinaran lampu ultra ungu C (UV-C). MediBot V1-U ini telah berjaya dihasilkan dalam masa sekitar seminggu dan kini sedang ditempatkan di pusat perubatan UIAM Kuantan untuk menjalani ujian dan proses pembangunan seterusnya. (Buletin TV3, 7 April 2020)

Kita memuji dan menyambut baik segala usaha murni yang dicurahkan oleh seluruh komuniti UIAM dan mereka yang terlibat dalam usaha ini secara langsung mahupun tidak langsung. Bantulah mereka untuk membantu kita. Bersama kita memainkan peranan sebagai rakyat untuk duduk di rumah, dan teruskanlah berdoa agar wabak ini dapat diangkat dari bumi dengan izin-Nya.

Daily Kampus – Portal Mahasiswa Anda

Leave a Reply

Your email address will not be published.