UIAM Finalis Dua Kategori Anugerah Green Gown Antarabangsa

[UIAM FINALIS DUA KATEGORI ANUGERAH GREEN GOWN ANTARABANGSA]

GOMBAK, 28 Mei 2020 – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) semalam sekali lagi melakar sejarah tersenarai sebagai finalis untuk dua anugerah peringkat antarabangsa. Anugerah Green Gown Antarabangsa dengan slogan ‘Awarding Sustainability Excellence’ telah menyenaraikan UIAM sebagai finalis dalam dua kategori iaitu Institusi Lestari Terbaik Dunia dan Anugerah Memanfaatkan Masyarakat atau ‘Benefitting Society’ menerusi program LIGHT (Leadership, Intuititive, Giving, Humility, Tenacity).

Program LIGHT yang dikelola oleh Kulliyyah Senibina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED) turut berkolaboratif dengan Universiti Sains Islam Malaysia serta Permodalan Nasional Berhad (PNB). Menariknya, LIGHT membuka peluang kepada para pelajar dua universiti ini yang terdiri dari pelbagai disiplin terlibat dalam program-program komuniti dalam menghasilkan produk warisan budaya di sekitar Gombak.

Penganugerahan tersebut diberikan oleh Persatuan Alam Sekitar Universiti dan Kolej (EAUC). EAUC adalah sebuah badan organisasi yang berpengkalan di United Kingdom yang mempunyai lebih 220 keahlian di kalangan universiti dan kolej yang menyokong kelestarian dalam sektor Pendidikan yang tidak terhad hanya di UK.

Rektor UIAM Tan Sri Prof Emeritus Dzulkifli Abdul Razak berkata ia adalah satu pengiktirafan besar buat universiti berkenaan dalam usaha melakukan transformasi institusi untuk kelestarian.“ Transformasi ini adalah untuk mencapai tiga objektif utama iaitu untuk menjadikan UIAM sebagai institusi yang lestari dan sejahtera serta memperkasakan masyarakat sekitar”, ujar beliau.

Pemenang tahun ini akan diumumkan pada 8 Julai 2020 bersempena dengan ‘United Nations High Level Political Forum’ yang dilakukan secara maya. Tempahan kerusi untuk hadir ke majlis penganugerahan telah dibuka.

Daily Kampus – Portal Mahasiswa Anda

Leave a Reply

Your email address will not be published.