Tragedi Pengeboman Ankara & Reaksi Masyarakat Dunia

Hampir sebulan selepas insiden pengeboman di Ankara pada 17 Februari yang lalu, Turki sekali lagi berdarah apabila tragedi yang sama berlaku Isnin lepas. Sumber kali ini melaporkan 37 masyarakat awam terkorban manakala lebih 125 orang cedera dalam kejadian pengeboman terbaharu di Ankara. Kejadian itu berlaku berhampiran bangunan Kementerian Dalam Negeri dan Kehakiman.

Ternyata insiden ini menimbulkan persoalan yang besar akan kekuatan kawalan keselamatan Turki, memandangkan insiden ini adalah kali ke empat berlaku dalam tempoh lima bulan. Yang membimbangkan masyarakat, serangan juga berlaku di kawasan pusat bandar dan tumpuan penduduk serta pelancong asing. Suatu yang merisaukan dan menjadi persoalan besar apabila insiden ini sebenarnya sudah diramal,dan kerajaan Turki telah diberi amaran awal agar mengambil langkah berjaga-jaga oleh pihak kedutaan Amerika Syarikat di Turki yang berjaya memecah masuk sistem komunikasi puak kumpulan pengganas.

Jika kita meninjau laporan yang disiarkan Al Jazeera semalam, jelas melaporkan kumpulan Parti Pekerja Kurdistan(PKK)telah mengakui menjadi dalang bagi tragedi tersebut, dan pihak kerajaan Turki tidak mendiamkan diri. Mereka telah bertindak menghantar jet-jet tempur membedil kem milik puak pemberontak Kurdis di utara Iraq, sehari selepas serangan bom di Ankara. Jet tersebut turut menyerang pusat-pusat perlindungan milik kumpulan militan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) di kawasan pergunungan Kandil dan Kara di utara Iraq.

Bagaimana dengan reaksi dunia? Ternyata tragedi Turki kali ini menyaksikan reaksi dan respon yang berbeza dalam kalangan masyarakat dunia jika dibandingkan dengan tragedi sama yang pernah berlaku di Perancis. Tiada liputan berita yang menyeluruh disiarkan. Pemimpin-pemimpin dunia ibarat berdiam diri, tiada ucapan takziah dari mereka dan masyarakat dunia. Turki kelihatan bersendirian dalam mengahadapi peristiwa ini.
Apakah peranan kesatuan dunia sudah hilang fungsi?

Isu Turki ini membawa kita merenung kembali, membelek kronologi- kronologi di sebalik kelantangan Turki sebelum ini dalam mempertahankan hak kemanusian sejagat. Baru-baru ini,kita lihat Turki berdepan dengan masalah apabila usul mereka dalam Kesatuan Eropah (EU) untuk negara-negara Eropah menerima pelarian-pelarian dunia ,tidak mendapat sambutan yang baik dalam kalangan negara yang lain. Selain itu, dasar kerajaan Turki terhadap isu Syria juga dikatakan menjadi punca sikap berkecuali negara-negara lain terhadap tragedi pengeboman kali ini.

Apakah nasib yang bakal dihadapi Turki? Tatkala korban nyawa di Turki mencatat angka yang lebih tinggi berbanding di Paris,tatkala angka korban yang majoritinya terdiri daripada muslim. Turki mungkin bukan negara yang terbaik di dalam Eropah, namun nasib Turki dalam menghadapi serangan pengganas tetap sama.Memetik kata James Taylor, “You were Charlie, you were Paris. Will you be Ankara?”

Leave a Reply

Your email address will not be published.