Subjek UNGS & Usrah Budi Wajar Diperhalusi

Daily Kampus kembali lagi dalam segmen ketujuh ‘Wawancara Eksklusif’ dengan menampilkan sebuah isu yang hangat diperkatakan kebelakangan ini. Isu workload subjek UNGS dan Usrah Budi yang agak membebankan, kini menjadi buah mulut dan rungutan kebanyakan pelajar arus perdana, yang rata-ratanya masih samar-samar akan kerelevanan kedua-dua subjek tersebut sebagai subjek keperluan universiti.


Kami bawakan moderator yang tidak asing lagi dalam media Daily Kampus, saudari Anis Farihah, pelajar tahun akhir jurusan Psikologi, dengan ditemani dua orang panel yang tidak kurang hebatnya, iaitu saudara Darwisy Roslan, Exco Akademik Kesatuan Pelajar UIAM, dan juga saudari Izzati Zakariah, pelajar tahun 3 jurusan Komunikasi. Kami rangkumkan poin-poin penting dalam “Wawancara Eksklusif 7.0 | UNGS & Usrah Budi : Perlu atau Tidak?” dan kami bawakan kepada anda dalam penulisan ini. Teruskan membaca untuk mengetahui kupasan lanjut.


Memulakan bual bicara, saudari Izzati menyifatkan bahawa isu ini bukanlah perkara yang baharu. Namun, ia menjadi isu hangat kebelakangan ini apabila mod pembelajaran beralih ke atas talian sepenuhnya, yang menyebabkan konsultasi antara pelajar dan pensyarah menjadi lebih terbatas, selain menyukarkan perbincangan dua hala antara rakan sekumpulan, melihatkan kepada pembawaan subjek tersebut yang asasnya dinilai daripada kerja berkumpulan. Mengulas lanjut, beliau juga berpendapat bahawa rata-rata pelajar sudah meletakkan satu sentimen bahawa subjek universiti hanyalah subjek enteng, menyebabkan subjek tersebut kurang diberi penekanan. Tambahnya lagi, subjek UNGS dan Usrah Budi juga tidak mempunyai sistem pemarkahan yang seragam (standardized) di mana setiap pensyarah atau fasilitator mempunyai cara pemarkahan yang berbeza antara satu dengan yang lain.

Ketika ditanya tentang workload yang berlebihan ini samada berpunca daripada pensyarah atau garis panduan universiti sendiri, panel kedua iaitu saudara Darwisy memulakan ulasannya dengan berkongsi tentang statistik yang pernah dijalankan oleh ‘Student Union’. Menurutnya, kaji selidik mendapati bahawa 30% daripada 20 ribu pelajar yang menyertai tinjauan tersebut mengalami beban berlebihan dalam workload mereka. Satu persoalan yang perlu diutarakan adalah, benarkah pelajar rasa terbeban dengan subjek ini? Beliau berpendapat bahawa pelajar tidak akan merasakan ia workload yang membebankan, jika kaedah perlaksanaan serta cara penyampaiannya bertepatan dengan keperluan. Berkongsi analogi mudah, pelajar tidak akan rasa terbeban dengan subjek kulliyyah kerana merasakan bahawa mempelajarinya adalah satu keperluan demi masa depan karier dan sebagainya. Menceritakan pengalamannya sendiri dengan subjek UNGS, beliau menegaskan bahawa perlu ada sistem penilaian yang selari antara pensyarah, selain pemarkahan tersebut perlulah setimpal dengan workload yang diberikan.


Menyentuh soal bagaimana timbulnya sentimen bahawa ‘subjek universiti kurang penting’, saudari Izzati menyenaraikan beberapa sebab yang mendorong kepada stigma tersebut, khususnya bagi subjek Usrah Budi. Antara sebab yang paling ketara adalah sistem pemarkahan yang berasaskan ‘Pass’ atau ‘Fail’ bagi subjek Usrah Budi menyebabkan pelajar tidak menganggapnya sebagai suatu keperluan, memandangkan ia tidak memberi kesan kepada CGPA. Beliau yang turut berkongsikan pengalamannya dalam Usrah Budi, menyatakan bahawa ramai yang mungkin bersetuju jika dikatakan bahawa Usrah Budi 1 hingga 4 nyata tiada perbezaan ketara dari segi tugasannya. Selain itu, faktor credit hour yang terlalu kecil iaitu 0.5 atau 1, serta waktu penetapan Usrah Budi yang dijalankan sekali seminggu sahaja menyebabkan tiada ‘bonding’ yang sepatutnya dicapai antara ahli usrah.


Seterusnya, saudara Darwisy dan saudari Izzati menzahirkan pandangan mereka bahawa subjek UNGS adalah wajar untuk dilaksanakan. Hal ini kerana jelas mereka, subjek UNGS menekankan tentang integrasi antara falsafah Barat dan falsafah Islam dalam pembelajaran, selain menyediakan platform untuk berkenalan dan bertukar idea dengan rakan-rakan dari kulliyyah dan negara lain. Mereka menyifatkan bahawa pensyarah yang sememangnya mahir dan berkaliber dalam bidang mereka menjadikan subjek ini amat berkualiti untuk dipelajari. Saudara Darwisy turut menyebutkan bahawa subjek UNGS merupakan produk tunggal UIA yang tidak akan didapati di institut pengajian lain, yang dicipta bermatlamatkan memberi pendedahan kepada pelajar tentang visi dan misi UIAM serta tujuan Islamisasi. Namun, beliau dalam ucapannya menyebutkan bahawa terdapat satu kekurangan yang signifikan tentang subjek UNGS, di mana para pelajar nyata tidak diberi pendedahan tentang tujuan subjek tersebut diimplementasi, menyebabkan pelajar memandang enteng dan mengambil mudah akannya.


Ketika menjawab persoalan tentang isu Usrah Budi, saudara Darwisy dalam ucapannya menyatakan bahawa Usrah Budi di UIAM melalui satu sejarah yang panjang dalam perkembangannya. Memberi analogi Proton Saga, beliau menyifatkan bahawa kita seharusnya boleh mengharapkan natijah yang baik daripada sesuatu perkara yang telah dimajukan dan dibangunkan. Namun, bagi isu Usrah Budi, beliau menyebutkan bahawa masalah ini mungkin masih timbul berpunca daripada masalah dalaman seperti kekurangan kakitangan yang menguruskan Usrah Budi, selain fasilitator sendiri yang menjadi naqib dalam keadaan tidak bersedia. Menyudahi ucapannya, beliau menegaskan bahawa; “Tiada siapapun yang mencipta sesuatu dengan matlamat untuk mendapatkan natijah yg buruk – pasti matlamatnya untuk membawa kebaikan kepada semua orang.” Begitu juga dengan Usrah Budi, meskipun ada kekurangan dari beberapa aspek, matlamatnya tidak lain hanyalah untuk memberi penerapan nilai Islam yang sebenar kepada pelajar.


Mengakhiri segmen wawancara eksklusif, saudara Darwisy dan saudari Izzati berpendapat bahawa kedua-dua subjek tersebut relevan untuk diteruskan, namun, ia wajar diperhalusi dan diteliti dari beberapa aspek yang perlu diberikan perhatian; seperti kaedah pengajaran serta sistem pemarkahan yang sepatutnya diselaraskan. Mereka sempat menitipkan pesanan buat rakan-rakan mahasiswa agar bersifat matang dalam menyelesaikan isu ini, dengan mencadangkan pelajar agar terus bersemuka dan berkomunikasi dengan pensyarah demi mencapai kata sepakat yang memberi kebaikan kepada kedua-dua belah pihak. Mereka turut menegaskan bahawa pendekatan yang bersepadu daripada semua pihak perlu dijalankan, selain mempergiat libat urus semua pihak yang terbabit agar langkah yang proaktif dapat dilaksanakan. Justeru, apakah resolusi yang terbaik buat subjek UNGS & Usrah Budi ini menurut kaca mata anda?

DAILY KAMPUS – PORTAL MAHASISWA ANDA

Ringkasan Wawancara Ekslusif
Ringkasan Wawancara Ekslusif

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *