‘Student Parliament’ Komited Menjaga Kebajikan Mahasiswa

Baru-baru ini bertarikh 20 & 21 Februari, telah dijalankan Parlimen Mahasiswa atau ‘Student Parliament’ bagi membahaskan isu dan masalah yang dihadapi pelajar UIAM. Menariknya, sidang ini dijalankan secara langsung di Youtube IIUM Student Union bersesuaian dengan norma baharu berpersatuan. Daily Kampus membawakan kepada anda rangkuman dan rumusan daripada ‘Student Parliament’ yang dijalankan pada Februari yang lalu, hasil temuramah pihak kami bersama Saudara Arif, ‘Chairperson of Student Parliament’, serta Saudara Amir Azran, ‘Speaker of Student Parliament’. Teruskan pembacaan anda untuk mengetahui lebih lanjut tentang inti perbahasan sidang parlimen ini dalam usaha menuntut kemaslahatan buat mahasiswa.

Memulakan sesi temuramah, saudara Amir menjelaskan bahawa ‘Student Parliament’ yang berlangsung baru-baru ini adalah satu himpunan pimpinan kelab dan persatuan yang terdapat di UIA bertujuan membincangkan dan mengetengahkan hal-hal dan masalah yang dihadapi oleh mahasiswa. Majlis ini telah dikendalikan dengan jayanya oleh ‘Parliament Commission’ selaku jawatankuasa yang bertungkus lumus memastikan parlimen ini berjalan lancar. Peserta parlimen ini terdiri daripada ahli ‘Student Union’, Ketua Perwakilan Pimpinan dari setiap Kulliyyah (KBS), Jawatankuasa Perwakilan Mahallah (MRC), dan juga Ketua-ketua Kelab di UIAM, membabitkan sekitar 140 peserta secara keseluruhan.

Ketika ditanya soal isu yang dibahaskan, jelas Saudara Arif dan Saudara Amir; sebanyak 18 usul yang telah dibincangkan sepanjang sidang Parlimen berlangsung. Antara isu yang hangat dibincangkan adalah tentang keperluan melibatkan KBS dan MRCC dalam perbincangan ‘Student Union’ bersama pihak pengurusan universiti, memandangkan arahan dan polisi yang dikeluarkan oleh pihak universiti wajar mendapat persetujuan dan suara wakil pelajar yang lainnya. Hal ini termasuklah keperluan untuk meningkatkan penglibatan Kampus Pagoh dalam perbincangan dengan pihak pengurusan universiti khususnya berkaitan hal ehwal pelajar di Pagoh. Turut ditimbulkan adalah cadangan penstrukturan semula silibus pelajar, memandangkan terdapat beberapa subjek yang dianggap tidak relevan bagi sesetengah Kulliyah seperti subjek UNGS dan Usrah Budi. Selain itu, isu wifi dan internet di mahallah serta di sekitar kampus juga hangat dibincangkan, walaupun isu ini bukanlah suatu isu yang baharu. Turut dibangkitkan adalah isu keselamatan mahasiswa, yang mana terdapat banyak aduan mengenai anjing liar, ular, dan juga monyet yang mengganggu hak peribadi serta keselamatan mahasiswa. Hasil penggulungan daripada persidangan tersebut, kesemua usul yang dibentangkan telah diterima dengan baik oleh ahli persidangan, di mana mereka sebulat suara untuk bekerjasama bagi menuntut hak supaya kemaslahatan pelajar terus terjamin.

Saudara Arif dalam ucapannya menegaskan, adalah penting untuk memperbetulkan salah faham dan persepsi di kalangan mahasiswa mengenai ‘Student Parliament’ ini. Terdapat sesetengah mahasiswa yang menganggap bahawa segala usul yang dibincangkan di dalam ‘Student Parliament’ akan menjadi suatu perkara yang mutlak dan diterima oleh universiti. Hakikatnya, tidak semua perkara akan menjadi suatu polisi kerana ‘Student Union’ hanyalah bertindak sebagai ‘orang tengah’ antara mahasiwa dan juga pihak universiti.

Mengakhiri sesi temu ramah, mereka sempat menitipkan pesanan buat mahasiswa di luar sana agar memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada ‘Student Union’ kerana asal penubuhan ‘Student Union’ ini adalah untuk mengambil berat akan kebajikan mahasiswa itu sendiri. Oleh itu, pelajar digalakkan untuk sentiasa menyuarakan masalah yang dihadapi tanpa rasa segan silu, kerana suara pelajar amatlah penting dalam mengubah status quo. Dengan adanya barisan pimpinan ‘Student Union’, mereka mempunyai tanggungjawab untuk mengerahkan segala usaha bagi memastikan kehidupan yang selesa untuk pelajar UIAM. Diharapkan apabila mahasiswa semakin berani menyuarakan pendapat, masalah serta solusi, UIAM mampu mengambil satu langkah lebih maju ke hadapan.

“Student Union dan mahasiswa berpisah tiada”

DAILY KAMPUS – PORTAL MAHASISWA ANDA

Leave a Reply

Your email address will not be published.