Peruntukan Bantuan Tunai sebanyak RM270 Juta untuk Pelajar IPT

[Peruntukan Bantuan Tunai sebanyak RM270 Juta untuk Pelajar IPT]

GOMBAK, 29 MAC – “No one will be left behind,” itulah petikan ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat atau PRIHATIN dalam siaran langsung melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) petang kelmarin.

Di saat rakyat dilanda kebimbangan dan kegusaran tentang kebolehsaraan mereka dalam menghadapi hari yang mendatang akibat sumber ekonomi dan pendapatan yang terjejas, Muhyiddin sukacitanya telah mengumumkan pakej PRIHATIN berjumlah RM250 bilion yang akan memberi manfaat kepada semua golongan rakyat tanpa ada yang dipinggirkan.

Kebajikan mahasiswa terus diberi penekanan apabila beliau mengumumkan bantuan RM200 kepada setiap seorang pelajar di institut pengajian tinggi termasuklah matrikulasi, Kolej Komuniti, Politeknik, IPTA dan IPTS. Bantuan ini akan diagihkan pada bulan Mei 2020. Sebanyak RM270 juta tunai diperuntukkan untuk bantuan buat pelajar-pelajar IPT ini.

Terdahulu, kerajaan melalui Perutusan Khas oleh Perdana Menteri bertarikh 25 Mac 2020 telah mengumumkan pemberian penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN selama 6 bulan berkuatkuasa serta-merta sehingga 30 September ini. Penangguhan ini dijangka memberi manfaat kepada 1.5 juta peminjam sebagai langkah untuk meringankan beban mereka ketika krisis ini.

Dengan matlamat utama untuk melindungi rakyat, kerajaan telah bersetuju memberikan elaun khas kepada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak ini. Selain itu, anggota tentera, polis, kastam, imigresen yang terlibat dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan juga tidak terkecuali daripada mendapat manfaat ini.

Di samping itu, golongan bujang turut mendapat perhatian kerajaan apabila beliau mengumumkan Bantuan Prihatin Tunai berjumlah RM250 yang disasarkan kepada individu bujang berusia 21 tahun ke atas dengan pendapatan bulanan RM2,001 hingga RM4,000. Manakala bagi individu bujang yang berpendapatan kurang dari RM2,000 sebulan, kerajaan akan memperuntukkan RM800 kepada setiap seorang di bawah Bantuan Prihatin Nasional.

Bagi meningkatkan liputan dan kualiti rangkaian telekomunikasi di seluruh negara, rakyat akan berpeluang untuk menikmati internet percuma bermula 1 April 2020 sehingga tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Keselamatan tamat, atas inisiatif dan kerjasama kerajaan dengan syarikat-syarikat telekomunikasi.

Dengan peruntukan kerajaan yang cakna rakyat ini, kita berharap agar seluruh rakyat Malaysia dapat bersatu hati dan berganding bahu dalam menghadapi musibah ini, di samping membantu meringankan beban kerajaan dan para pejuang barisan hadapan dengan mematuhi perintah kawalan pergerakan agar rangkaian jangkitan ini dapat dipecahkan.

#jimatcermat
#sayangPM
#stayathome

Daily Kampus – Portal Mahasiswa Anda

Leave a Reply

Your email address will not be published.