Perjuangan DZN, Perjuangan Kita

Tanggal 21 Februari 1992 merupakan detik hitam, di mana Allahyarham Syeikh Ahmed Deedat dijemput mengadakan ucapan terbuka di Dataran Merdeka, namun beliau terpaksa diberhentikan dengan cara yang halus , kononnya ucapan beliau menyentuh sensitiviti agama di Negara ini.

Sejarah kelam ibarat berulang kembali bilamana Malaysia digemparkan dengan pembatalan forum tokoh hebat perbandingan agama Dr Zakir Naik yang bertajuk “persamaan antara agama Hindu dan Islam” yang bakal di adakan di Universiti Teknikal Malaysia (UTEM) Melaka pada 17 April 2016.
Berikutan tindakan Pemuda MIC yang telah membuat laporan polis di seluruh negara untuk menghalang Dr Zakir daripada menyampaikan ceramahnya di Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar,lantas mengarahkan majlis itu tidak diteruskan demi ketenteraman awam dan sensitiviti rakyat berbilang agama di Malaysia. Persoalannya, apakah kita harus akur dengan laporan dan aduan mereka-mereka yang jelas menolak islam?

Sebagaimana yang diketahui, Dr Zakir Naik merupakan seorang tokoh perbandingan agama yang tersohor di seluruh benua dan beliau telah menyampaikan banyak ceramah kepada segenap lapisan masyarakat dari pelbagai agama. Justeru, mengapa isu ini perlu menjadi satu kontroversi walhal Malaysia merupakan sebuah Negara yang berbilang agama?
Bukan sekadar tentangan dari MIC, Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) juga agresif mendesak Putrajaya untuk mengharamkan penceramah itu daripada memasuki Malaysia bagi memulakan siri ceramah di Terengganu, dengan menggelarkannya sebagai virus kepada masyarakat berbilang kaum. Pelik, namun itulah hakikat perlu diterima, Malaysia semakin tandus dengan kebebasan bersuara. Nilai-nilai tersebut telah hilang dek kerana ingin menjaga sentiviti agama.

Ceramah Allahyarham Syeikh Ahmed Deedat dihentikan. Program Dr Zakir Naik dihalang. Dua nama terkemuka dalam arena dakwah membawa manusia mengenal Tuhan,namun nasib mereka seakan sama, dicaci dan ditohmah. Ingatkah, suatu ketika kempen ‘say no to valentine day’ untuk menolak sambutan‘valentine day’. Namun bisik suara tidak puas hati kedengaran,kononnya tindakan ini menyalahi etika kebebasan beragama. Lantas kita akur, membiarkan pesta maksiat bermaharajalela di bumi kita,Malaysia.

Bertitik tolak daripada peristiwa-peristiwa ini, seharusnya mampu membuka mata rakyat Malaysia terutama kita yang beragama islam. Siapa yang lebih berhak membela mereka, dan membela Islam umumnya jika bukan kita? “Apakah islam itu akan jatuh, sedangkan aku masih hidup? Tidak mungkin selamanya, sehingga aku mati”.

Tuntasnya, haruslah kita merenung dan menjadikan kata-kata Abu Bakar ini sebagai obor yang bakal membakar semangat untuk terus berjuang menegakkan syiar islam bertunjangkan kalimah tauhid.

Leave a Reply

Your email address will not be published.