Pengadaptasian ERTL dan Isu Yuran Tanda Keprihatinan IRKHSSS

[PENGADAPTASIAN ERTL DAN ISU YURAN TANDA KEPRIHATINAN IRKHSSS]

Peranan wanita dalam dunia kepimpinan bukanlah sesuatu yang asing dan janggal. Wanita yang sering dikaitkan dengan sifat kelembutan kini dapat bergerak seiring dengan kaum lelaki dalam menerajui kepimpinan dan membuat keputusan. Daily Kampus telah membawakan sedikit kelainan dalam segmen keempat ‘Wawancara Ekslusif : Apa Kata Presiden’ pada Isnin lalu, apabila menampilkan tetamu wanita istimewa pada kali ini, iaitu saudari Anis Farihah, pelajar tahun 3 jurusan psikologi, yang kini sedang memegang tampuk Presiden ‘Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences Students’ Society’ (IRKHSSS) 19/20, salah satu kulliyyah yang terbesar dan tertua di UIAM.

Memulakan bual bicara, saudari Anis yang lebih mesra dipanggil ‘Kak Long’ menyifatkan bahawa visi dan misi yang dibawa oleh IRKHSSS pada penggal kali ini adalah lebih berfokuskan kepada keberhasilan dalam pelaksanaan ERTL, memandangkan suasana pembelajaran atas talian ini merupakan fenomena yang amat baru buat para pelajar dan pensyarah secara keseluruhannya, maka usaha yang pro-aktif perlu dijalankan secara bersepadu agar semua pihak dapat mengadaptasi dengan pembelajaran gaya baharu ini. Beliau dalam ucapannya turut menyebutkan usaha yang telah dilakukan oleh pihak universiti; antaranya ialah mengadakan bengkel cara mengendalikan aplikasi pembelajaran atas talian seperti Zoom, Google Meet dan sebagainya. Selain itu, banyak soal selidik yang telah dijalankan oleh pihak IRKHSSS dan pihak universiti sendiri dalam usaha untuk mengenalpasti masalah dan kesukaran yang dihadapi oleh para pelajar. Malah, UIAM turut mengatur suatu tempoh untuk fasa percubaan bagi melihat keberkesanan pelaksanaan ERTL iaitu bermula dari 1 Jun hingga 15 Jun yang lalu, bertujuan untuk mengenalpasti pelajar yang mempunyai masalah dengan pembelajaran atas talian.

Ketika ditanya tentang perspektifnya terhadap keberkesanan pembelajaran secara atas talian, beliau menzahirkan keyakinan penuh bahawa ERTL ini akan berjalan dengan lancar dan membuahkan hasil yang optimum; melihatkan kepada daya usaha dan inisiatif yang dilakukan oleh semua pihak, khususnya para pensyarah dan barisan staf yang bertungkus-lumus dalam memastikan semua pelajar memperoleh hak yang sama rata untuk belajar. “Walaupun suasana kita kini berbeza, pensyarah tetap akan pastikan setiap pelajar dapat mencapai objektif pembelajaran yang sama”, katanya. Mengakhiri ulasan berkenaan ERTL, beliau dalam kenyataannya menyifatkan bahawa segala usaha yang telah dilakukan oleh pihak UIAM adalah sangat maju ke hadapan bersesuaian dengan visi UIAM; ‘leading the way’.

Selain itu, ketika menyentuh soal yuran pengajian, beliau menyatakan kewajaran dan sokongan penuh yang tidak berbelah-bahagi terhadap kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh beberapa persatuan dan ‘kulliyyah based society’ (KBS) baru-baru ini yang menuntut pengurangan yuran mahallah dan yuran akademik oleh pihak universiti. Hal ini kerana jelasnya, sepanjang fasa PKP dilaksanakan bermula 18 Mac yang lalu sehingga ke hari ini, pelajar secara umumnya tidak menggunakan fasiliti yang disediakan di mahallah dan bangunan akademik seperti elektrik, air dan sebagainya. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penurunan yuran ini perlulah mengambil kira beban yang ditanggung oleh universiti. Oleh itu, beliau menyarankan agar keputusan yang diambil perlulah memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak, iaitu pihak universiti dan pelajar secara keseluruhannya. Menyudahi ulasan berkenaan isu yuran pengajian, beliau memaklumkan bahawa hal ini masih dalam perbincangan pihak universiti dan masih belum mencapai kata putus yang muktamad.

Mengakhiri segmen wawancara Apa Kata Presiden, saudari Anis sempat menitipkan sedikit harapan dan pesanan buat rakan-rakan mahasiswa di luar sana agar sentiasa berfikiran positif dan meyakini bahawa segala perkara yang berlaku ada hikmahnya yang tersendiri. Beliau turut berpesan agar rakan-rakan seperjuangan terus menjaga diri dan menghidupkan kembali motivasi dan semangat untuk belajar, selain turut mengungkapkan bahawa disiplin adalah kunci utama dalam menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran yang baharu ini.

Daily Kampus – Portal Mahasiswa Anda

Leave a Reply

Your email address will not be published.