Pelajar IRK UIAM Johan Hafazan Kebangsaan

[PELAJAR IRK UIAM JOHAN HAFAZAN KEBANGSAAN]

22 Februari – Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) tahun 1441H/2020 M yang berlangsung bermula 16 hingga 21 Februari 2020 lepas di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, Sabah telah menyaksikan para Huffaz serta qari dan qariah mewakili negeri masing-masing berentap untuk 4 kategori yang dipertandingkan.

Nurul Izzah binti Mukhali, anak watan Sarawak, yang dinobatkan sebagai Johan (Bahagian Hafizah) Menghafaz Al-Quran kategori Juzuk 1 – 10 beserta Tarannum merupakan mahasiswa UIAM dalam pengkhususan Quran & Sunnah. Anak ketiga daripada 5 beradik ini membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta piala iringan.

“Antara amalan yang selalu saya praktikkan ialah sentiasa mengulang, tasmi’ dan tebuk setiap Juzuk, memeriksa semula tempat yang salah dan tidak lupa juga memohon doa ibu dan ayah.” kata Izzah yang berkongsi amalannya dalam menghafaz Al-Quran.

“Bacalah Al-Quran setiap hari kerana dengan asbab Al-Quranlah hati kita akan menjadi tenang, urusan akan dipermudahkan dan sentiasa berasa gembira.” katanya lagi.

Pada masa yang sama, seorang lagi mahasiswa UIAM, Siti Masitah binti Mohamad Maarof, pelajar tahun dua jurusan Quran Sunnah telah meraih tempat ketiga bagi kategori majlis hafazan Al-Quran juzuk 1-30 beserta tafsir bahagian Hafizah mewakili Negeri Selangor.

Antara mahasiswa UIAM lain yang turut serta dalam MTQHK kali ini ialah Wan Muhammad Adam bin Wan Mohamad Fathi – Terengganu (Hafazan Lelaki Juzuk 1-30 beserta Tafsir) dari Kuliyyah Kejuruteraan dan Nur Natasha Azeze binti Shariman Azeze – Negeri Sembilan (Tilawah Al-Quran Wanita) dari Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan.

Kami pihak Daily Kampus mengucapkan tahniah dan syabas di atas kejayaan serta pencapaian yang diperolehi. Semoga dengan kejayaan ini menjadi sumber inspirasi kepada semua mahasiswa UIAM dalam menggalakkan bacaan Al-Quran dalam kehidupan seharian kerana sebaik-baik zikir adalah Al-Quran.

“Daily Kampus – Portal Mahasiswa Anda”

Leave a Reply

Your email address will not be published.