Keahlian dan Struktur Organisasi MPPK Harus Dirombak

KEAHLIAN DAN STRUKTUR ORGANISASI MAJLIS PERUNDINGAN PELAJAR KEBANGSAAN (MPPK) HARUS DIROMBAK – Saudara Wan Harith Iskandar Wan Roslan

Dalam era Malaysia baharu yang menyaksikan reformasi dalam pelbagai aspek, struktur organisasi MPPK yang masih mengekalkan hanya Yang- Dipertua MPP (YDP MPP) sebagai ahli dan dalam masa yang sama memegang portfolio dalam majlis tersebut sudah tidak relevan untuk mengangkat hasrat kerajaan dalam agenda pemerkasaan mahasiswa.

Saya melihat MPPK sebagai satu gerakan mahasiswa dan bukanlah satu jawatan yang diadakan untuk menutup mulut mahasiswa atas kebanggaan memegang jawatan, mesyuarat di tempat mewah dan diberikan dana yang banyak. Jika isu mahasiswa di peringkat kebangsaan hanya ditanggung YDP MPP, maka idea student empowerment itu tidak dapat diterjemahkan secara sebenar kerana kuasa mahasiswa terletak pada setiap tubuh mahasiswa di negara ini dan untuk menterjemahkan kuasa mahasiswa dalam mengangkat isu di peringkat kebangsaan, MPPK harus mendapat sokongan dan dokongan daripada semua mahasiswa di Malaysia.

Matlamat utama rombakan ini adalah untuk memastikan segala gerak kerja MPPK lebih strategik, berkesan dan selaras antara semua kampus. Tahun 2018-2019 menyaksikan penambahan beban kerja terhadap YDP setiap kampus berlanjutan daripada hasrat kerajaan dalam melaksanakan reformasi terhadap sektor pendidikan. Perubahan dalaman kampus sahaja sudah banyak, apatah lagi perubahan pada peringkat kebangsaan.

Sehubungan dengan itu, ia menjejaskan fokus YDP terhadap portfolio yang dipegang di dalam MPPK dan segala pergerakan dan pelaksanaan tidak mempunyai pembahagian tugas yang efektif menyebabkan sesetengah isu tergantung dan tidak selesai.

Ini mencorak pergerakan MPPK kepada hanya mengeluarkan pernyataan rasmi yang berniat untuk menggesa atau kesal atas sesuatu isu dan kurang turun padang. Antara cadangan penambahbaikan adalah MPPK harus dianggotai oleh semua barisan MPP, Fakulti dan Kolej Kediaman. Mengapa bukan MPP sahaja? Kerana disebut di dalam MPPK itu adalah “pelajar” dan definisi itu masih luas untuk kita terokai dan keluar daripada status quo dimana ia hanya khusus kepada YDP MPP sahaja.

Semua YDP (MPP Universiti Awam dan Universiti Swasta) akan membentuk majlis presiden yang merupakan majlis tertinggi dan setiap Naib Yang-Dipertua dan Setiausaha Agung MPP akan dilantik menjadi setiausaha sulit dan setiausaha politik setiap ahli majlis presiden. MPPK pula akan mempunyai dua sayap iaitu Dewan Fakulti kebangsaan dan Dewan Kolej Kediaman Kebangsaan untuk membincangkan usul dibawa kepada Majlis Presiden. Kedua dewan ini dianggotai oleh setiap presiden Fakulti dan Kolej Kediaman.

Kemudian akan diwujudkan jawatankuasa pelaksana yang terdiri daripada setiap sektor utama seperti kebajikan, media, keusahawanan dan lain-lain. Contohnya, Jawatankuasa Kebajikan Kampus Kebangsaan dimana ahlinya adalah exco kebajikan MPP, Fakulti dan Kolej Kediaman yang akan melaksanakan keputusan Majlis Presiden. Dengan struktur ini, ia membentuk satu kerajaan mahasiswa yang lebih berkuasa dan dapat mencapai matlamat yang disebut di atas.

Ini pula dapat mewajarkan kewujudan Kesatuan Perwakilan Mahasiswa Malaysia (KPMM) yang baru-baru ini ditubuhkan bertujuan untuk menjadi entiti check and balance kepada MPPK. Kewajarannya adalah apabila MPPK sudah memegang kuasa mahasiswa yang amat besar, harus ada entiti yang menjadi pemerhati dan mengkritik segala polisi dan cadangan yang dilaksanakan di dalam kampus pada peringkat kebangsaan. Dalam erti kata yang lain, MPPK adalah blok kerajaan mahasiswa dan KPMM adalah blok pembangkang. Penggunaan kata “blok pembangkang” dan “blok kerajaan” haruslah tidak disalahertikan dengan parti politik semasa. Apa yang dimaksudkan hanyalah entiti yang memerintah dan entiti yang berperanan untuk check and balance.

Tetapi satu persoalan yang mungkin akan timbul iaitu adakah dengan cadangan struktur ini akan menganggu autonomi setiap MPP, Fakulti dan Kolej Kediaman kerana setiap keputusan yang dibuat oleh Majlis Presiden wajib dilaksanakan? Solusi kepada persoalan ini adalah untuk mengadakan Persidangan Pemimipin Pelajar Kebangsaan yang mengumpulkan setiap individu yang memegang jawatan disebut diatas dan mewujudkan satu perlembagaan yang mempunyai pembahagian autonomi yang jelas antara MPPK dan setiap persatuan yang terikat di bawahnya.

Ekoran itu, segala pergerakan MPPK bukan sahaja mendapat perhatian kerajaan, tetapi ia mampu memberikan tamparan hebat kepada kerajaan kerana ia digerakkan oleh wakil pelajar secara bersama. Saya akui idea ini kelihatan agak radikal tetapi inilah permulaan kepada manifestasi agenda pemerkasaan mahasiswa yang sebenar.

Dengan pencadangan struktur di atas ataupun mana-mana cadangan yang lebih menterjemahkan idea student empowerment, maka akan relevanlah cadangan untuk meletakkan presiden MPPK sebagai senator di Dewan Negara kerana bukan sahaja ia merupakan wakil seluruh mahasiswa, tetapi juga memegang “kerajaan mahasiswa” yang dapat membantu negara ke arah yang lebih baik. Akhir kata, konsep “dari mahasiswa kepada mahasiswa” itu lahirnya daripada kekuatan jiwa-jiwa anak muda yang bersatu. Bukan hanya meletakkan beban kepada yang satu (baca: YDP MPP)

WAN HARITH ISKANDAR BIN WAN ROSLAN,

SETIAUSAHA JAWATANKUASA PENUBUHAN KESATUAN PELAJAR UIAM.

*Artikel berikut merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Daily Kampus

Leave a Reply

Your email address will not be published.