Hari Guru 2020

“BERGURU DEMI ILMU, BINA GENERASI BAHARU”

Bersempena dengan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-49 pada tahun ini, tema “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu” telah dipilih. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), tema yang dipilih tersebut menyentuh peranan guru dalam memperkasa keilmuwan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu negara yang dapat memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Halatuju pembinaan generasi baharu yang dapat memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu melahirkan manusia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan untuk mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara, pastilah memerlukan usaha yang selari dari para pendidik dan pelajar.

Guru disebut sebagai insan yang sentiasa dahagakan ilmu dan tidak jemu memperlengkap dirinya dengan pelbagai pengetahuan, kemahiran dan nilai, sejajar dengan prinsip pembelajaran sepanjang hayat. Maka sudah pasti tanggungjawab mendidik anak bangsa perlu digalas sebaiknya. Bagi para pelajar pula, mereka perlu menginsafi bahawa tidak ada manusia yang dapat mencapai kejayaan tanpa tunjuk ajar dari para guru. Merekalah antara insan yang banyak berjasa dalam membentuk karakter dan keperibadian seseorang. Penerokaan ilmu pengetahuan perlu melalui proses pembelajaran berterusan secara berguru. Niat yang ikhlas untuk menuntut ilmu tentunya akan lebih memberi kesan di sanubari, seterusnya akan meningkatkan penguasaan ilmu seseorang.

Maka, bersempena dengan sambutan Hari Guru yang disambut pada 16 Mei, kami daripada pihak Daily Kampus ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat para pendidik di seluruh negara. Kalianlah wira sebenar di belakang sosok-sosok hebat yang telah dan bakal mengemudi pentadbiran negara pada masa dahulu, sekarang dan juga generasi akan datang. Selamat Hari Guru, cikgu!

Daily Kampus – Portal Mahasiswa Anda

Leave a Reply

Your email address will not be published.