EMSS Sedia Berdepan Norma Baru Berpersatuan

[EMSS SEDIA BERDEPAN NORMA BARU BERPERSATUAN]

Pada Jumaat yang lalu, Saudara Amin Farhan Abd Jabar yang merupakan Presiden ‘Economics and Management Sciences Society’ (EMSS) 19/20 telah menjadi tetamu jemputan untuk segmen kali kedua wawancara ‘Apa kata Presiden’ yang telah bersiaran secara langsung di ‘Facebook’ Daily Kampus.

EMSS merupakan salah satu daripada ‘Kulliyah Based Society’ (KBS) yang aktif di mana banyak program direncanakan oleh persatuan ini sepanjang tahun. Walau bagaimanapun, aktiviti–aktiviti yang telah direncanakan tentunya menghadapi rencam yang pelbagai dalam fasa PKP ini apabila segala aktiviti kini perlu bertukar dimensi serta berpusat di alam maya. Persoalannya, bagaimanakah EMSS mengadaptasi dengan norma baharu serta memastikan program-program yang dirancang dari awal dapat mencapai objektif yang optimum serta memberi kesan yang baik untuk mahasiswa khususnya bagi kulliyah ekonomi sendiri?

Selama hampir 5 bulan memegang tampuk presiden EMSS, ternyata banyak inisiatif yang EMSS telah lakukan di bawah kepimpinan saudara Amin dalam menuntun keberhasilan mahasiswa. Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah dengan mewujudkan platform seperti channel Telegram dan juga sedang berusaha membina ‘website’ EMSS sendiri sebagai medium untuk menyampaikan maklumat kepada pelajar secara terus dan telus selain bertujuan untuk mengangkat suara dan hak pelajar. Selain itu, sepanjang fasa PKP ini, kita dapat menyaksikan banyak program yang disusun hasil inisiatif EMSS, antaranya Instagram live session : ‘Ctrl Alt Think’, ‘KENMS TV ft Ramadhan with EMSS’ serta ‘KENMS Bulletin’.

Mempunyai visi untuk melahirkan lebih ramai ‘leader’, beliau melihat kepada kebolehpasaran pelajar yang akan bergraduasi nanti, di mana mereka ini bukan sahaja memerlukan keputusan akademik yang cemerlang; bahkan aspek kokurikulum juga turut memainkan prospek yang penting. Oleh itu, beliau bersama tim EMSS telah berbincang dengan ‘Deputy Dean Student Development & Community Engagement’ KENMS, Assoc. Prof. Dr. Muslim Har Sani Mohamad, di mana kata sepakat telah tercapai iaitu pengagihan ‘starpoint’ kepada mereka yang menyertai program-program EMSS yang dijalankan di alam maya contohnya pertandingan, ceramah motivasi, live session dan sebagainya.

Penutup bagi siaran Apa Kata Presiden, saudara Amin telah memberikan pandangan beliau yang sangat berpuas hati dengan perlaksanaan ‘Emergency Remote Teaching Learning’ (ERTL) yang terbaru diumumkan. Beliau menyifatkan bahawa ikhtiar pihak universiti untuk melaksanakan ERTL merupakan daya usaha yang terbaik yang boleh diberikan buat pelajar pada masa kini. Mereka tentunya sudah menimbang tara akan segala segi dan aspek, termasuklah subjek-subjek yang wajar dilakukan ERTL, kelengkapan dan akses pelajar kepada internet, persediaan pensyarah dalam pelaksanaan ERTL serta lain-lain aspek yang perlu diberikan perhatian.

Daily Kampus – Portal Mahasiswa Anda

Leave a Reply

Your email address will not be published.