Bagaimana Negara-Negara Dunia Menguruskan Pandemik Covid-19?

[ BAGAIMANA NEGARA-NEGARA DUNIA MENGURUSKAN PANDEMIK COVID-19? ]

Sejak wabak COVID-19 mula dikesan pada Disember tahun lepas di salah sebuah wilayah di China iaitu di Hubei, ianya terus menular di pelbagai negara di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak tersebut sebagai pandemik pada 11 Mac 2020. Pelbagai usaha telah diambil oleh negara-negara terlibat untuk mengekang wabak ini daripada terus tersebar dan menjangkiti warga mereka. Bagaimanapun, sehingga kini, kes-kes positif yang dilaporkan oleh media antarabangsa dan tempatan terus meningkat dari semasa ke semasa.

Sehingga artikel ini ditulis, pandemik ini telah mencatatkan lebih 857 487 kes di peringkat global dan telah meragut nyawa lebih daripada 42 000 orang. Wabak ini telah pun menyerang 202 negara, di mana Amerika Syarikat mencatatkan jumlah bilangan kes tertinggi pada ketika ini. Sementara itu, Itali, menjadi satu-satunya negara yang telah mencatatkan jumlah kematian melebihi 10 000 orang melibatkan warganya yang dijangkiti COVID-19.

Menarik untuk diperhatikan, setiap negara yang terkesan akibat wabak ini dilihat mengambil pendekatan yang pelbagai dalam usaha untuk mengekangnya daripada terus tersebar. Pada tarikh WHO mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik, suatu wabak penyakit yang tersebar luas melepasi sempadan, malah hingga ke seluruh dunia, China pada ketika itu telah pun berjaya memperlahankan peningkatan kes-kes baharu jangkitan akibat coronavirus walaupun negara itu merupakan negara pertama COVID-19 mula dikesan. Usaha yang dilakukan oleh negara tersebut dalam membendung penularan wabak berjangkit itu turut mendapat pujian dari Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

Kerajaan China dilihat mengambil tindakan yang tegas, pantas dan komprehensif dalam menangani penularan wabak tersebut. Apabila bandaraya Wuhan mengalami peningkatan kes jangkitan secara mendadak, sekatan pergerakan keluar masuk (lockdown) terus dilakukan oleh pihak kerajaan di bandaraya Wuhan dan wilayah Hubei, selain membina sebuah hospital yang khusus bagi mengendalikan pesakit COVID-19. Pembinaan hospital tersebut yang siap dibina dalam tempoh singkat menjadi buah mulut masyarakat dunia yang pada ketika itu masih tidak terkesan dengan coronavirus. Begitupun, kejayaan membendung wabak ini tidak hanya datang dari usaha kerajaan mereka yang agresif, bahkan dari sudut kepakaran para doktor dan kakitangan kesihatan mereka selain faktor kesedaran yang tinggi dari rakyat China sendiri.

​Korea Selatan, sebuah lagi negara yang dilihat berjaya mengendalikan penularan wabak dengan baik. Mereka berjaya meratakan lengkung epidemik bagi kes-kes baharu yang dicatatkan meskipun negara tersebut pernah mencatatkan peningkatan kes baharu lebih 900 kes dalam sehari. Saringan secara besar-besaran dilakukan dengan tindakan pantas dari pihak berkaitan yang turut mengendalikan isolasi bagi mereka yang dijangkiti. Bagi merealisasikan usaha untuk mengendalikan saringan awal berskala besar kepada rakyatnya, Korea Selatan mewujudkan stesen saringan pandu-lalu di mana seseorang hanya perlu memandu kereta ke sebuah makmal bergerak dan memberikan sampel ujian di dalam kenderaan sendiri tanpa perlu keluar, sementelah keputusan ujian akan diperoleh hanya dalam tempoh tujuh hingga ke sepuluh minit sahaja.

​Jerman yang mencatatkan kes positif COVID-19 melebihi 71 000 kes, kelima tertinggi di dunia, mempunyai peratus kematian yang jauh lebih rendah berbanding negara-negara Eropah lain seperti Itali, Sepanyol dan Perancis. Ini kerana, sepertimana di Korea, Jerman turut menjalankan ujian saringan secara meluas terhadap rakyatnya dan mengambil tindakan pantas dalam mengesan kontek pesakit yang positif. Amerika Syarikat, negara kuasa besar dunia, yang kini menjadi negara dengan kes tertinggi positif COVID-19, dilihat agak lambat dalam mengurus dan mengendalikan usaha untuk mengekang wabak ini. Meskipun media utama seperti CNN meletakkan kesalahan sepenuhnya ke atas Presiden US, Donald Trump atas keadaan semasa di sana, realitinya, wabak ini tidak dapat dibendung dengan baik kerana arahan di peringkat negeri adalah berbeza dengan arahan yang dikeluarkan di peringkat federal. Perbezaan ini menjadi sebab rakyat Amerika bersifat endah tidak endah terhadap arahan kawalan pergerakan dari pihak pemerintah, seterusnya mengakibatkan rantaian jangkitan kian bertambah.

​Bagi negara-negara lain di seluruh dunia, perintah penjarakan sosial dan kawalan pergerakan atau perintah berkurung dilihat cara yang paling ampuh untuk meratakan lengkung pandemik kerana dianggarkan sekurang-kurangnya 3 bilion penduduk dunia pada ketika ini sedang menjalani tempoh berkurung di kediaman masing-masing. Perintah kawalan ini dipercayai berupaya memutuskan rantaian wabak daripada terus tersebar. Usaha-usaha sepertimana di China dan Korea Selatan dilihat sukar untuk dilakukan di negara masing-masing. Pelbagai halangan yang menjadi faktor, tetapi halangan yang terbesar ialah dari kalangan warga sendiri, iaitu kesedaran tentang bahaya wabak ini yang masih rendah. Pemerintah setiap negara perlu memainkan peranan yang sewajarnya bagi mendidik rakyat mereka untuk menjaga kebersihan diri dan mengekalkan penjarakan sosial.

​Kesimpulannya, wabak ini boleh dicegah daripada terus menular dan memberi impak buruk terhadap sosioekonomi masyarakat dunia tetapi kita sebagai salah seorang dari warganya perlulah memainkan peranan yang baik dalam usaha mencegah penularannya. Teruslah sebarkan sebanyak mungkin kesedaran tentang wabak ini kepada masyarakat dalam pelbagai medium yang boleh diakses dan turutilah segala perintah yang dikeluarkan oleh pihak pemerintah tempat anda.

#StayAtHome
#KitaJagaKita
#MusaadahCovid19

Rujukan:
https://www.bbc.com/news/world-51839944
https://www.nbcnews.com/…/coronavirus-map-confirmed…
https://www.cnet.com/…/who-declares-coronavirus…/
https://www.freemalaysiatoday.com/…/ketahui-bagaimana…/
https://www.worldometers.info/coronavirus/
https://www.bharian.com.my/…/covid-19-perkembangan…
https://www.sinarharian.com.my/…/Di-sebalik-perjuangan…
https://www.livescience.com/germany-coronavirus-deaths-so…
https://edition.cnn.com/…/us-most-confirmed…/index.html
https://web.facebook.com/ayman.rashdan.wong/posts/10212842060285929

Daily Kampus – Portal Mahasiswa Anda

Leave a Reply

Your email address will not be published.