Azam 2020 Mahasiswa: Kekal Identiti Muslim

:::AZAM 2020 MAHASISWA: KEKAL IDENTITI MUSLIM:::

Peredaran matahari hari ini telah ‘mengubah’ tahun masihi kepada satu angka yang cukup sinonim dengan negara dan rakyat Malaysia iaitu tahun 2020, satu angka yang mudah disebut dan enak didengar. Mereka yang masih berada di bangku sekolah sekitar tahun 90-an, barangkali masih segar dalam ingatan akan hala tuju negara yang menjadi kebanggaan semua pada ketika itu, iaitu Wawasan 2020.

30 tahun lalu (1991-2020), Tun Dr. Mahathir Mohamad telah membentangkan kertas kerja ‘The Way Forward- Vision’ dan kemudian dikenali sebagai Wawasan 2020. Hala tuju negara Malaysia telah dirangkumkan dalam 9 elemen utama Wawasan 2020, sebuah gagasan Malaysia menuju negara maju, berdaya saing, demokratik dan makmur. Wawasan 2020 hanya menjadi angan-angan apabila dibuat perbandingan dengan etika, moral dan pembangunan yang diisi hari ini.

Melangkah tahun baru 2020, ‘planner’ atau diari juga mahu berwajah baharu dan ditukar ganti. Semangat untuk meletakkan azam tahun baru sayogianya tidak mengesampingkan tuntutan bermuhasabah atas amanah penggunaan masa muda. Menjadi pelajar mahasiswa dan mahasiswi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang cakna akan kebajikan sosial dan suasana politik tanah air merupakan suatu cabaran.

Tahun 2019 memperlihatkan kepada bakal kepimpinan negara tercinta ini akan cabaran dan liku-liku dalam membentuk sebuah negara maju yang bertitik tolak daripada individu sendiri. Pelbagai kepentingan Islam dicabar dan syak wasangka sesama kaum terbit. Cabaran mahasiswa yang paling fundamental adalah mengekalkan identiti pelajar muslim. Dalam memaknai identiti Islam yang selamat dan menyelamatkan, pelajar UIAM khususnya wajar melihat kembali sejauh mana mereka selamat dan menyelamatkan masyarakat sekeliling dalam menghadapi arus modenisasi ini.

Pihak Daily Kampus, mengambil peluang ini menyeru pelajar Muslim agar menyambut tahun baru 2020 dengan mengingati kembali peri penting peranan mereka sebagai anak watan dan tanah air kita yang sarat warisan seperti tulisan Jawi dalam pembinaan tamadun Melayu. ‘Ekosistem’ berbilang kaum dan bangsa yang wujud dalam kampus UIAM mestilah diolah menjadi ‘tuah’ universiti.

Leave a Reply

Your email address will not be published.