Perbezaan Bukan Penghalang

Ketika diamanahkan untuk menerajui MPP UIAM kira-kira setahun yang lepas, antara matlamat utama saya adalah untuk mewujudkan satu kerjasama erat antara organisasi yang saya terajui dengan pelbagai pihak yang berkaitan. Ini bertujuan untuk memastikan MPP mampu memberikan lebih banyak hasil dan manfaat kepada para pelajar. Saya sedar setiap tahun mahasiswa UIAM mengharapkan sesuatu yang bermakna dan luar biasa daripada perwakilan mereka. Mereka mahukan perwakilan yang benar-benar mengangkat suara mahasiswa, membangunkan keupayaan mereka, membuka lebih banyak ruang dan peluang serta memacu MPP ke tahap yang lebih tinggi.

Sebagai presiden ke-16 dari kumpulan Wufi (Pro-Mahasiswa) sejak ia ditubuhkan pada tahun 1999, saya menggalas satu cabaran besar untuk membuktikan bahawa organisasi politik kampus ini kekal relevan dan amat diperlukan oleh mahasiswa Taman Ilmu dan Budi. Mutakhir ini, saya mendapati citra politik kampus telah berubah dan mahasiswa semakin kritis dalam memberikan komentar kepada isu-isu seputar politik kampus. Gerakan #AikolTolakWufi yang diwujudkan sempena pilihan raya kampus pada tahun 2014 sangat memberikan kesan kepada saya. Ia membuatkan saya terfikir betapa sebagai seorang ahli Wufi, saya perlu melihat semula apa kemahuan sebenar mahasiswa yang sepatutnya dipenuhi dan perkara-perkara yang mereka (sebagai pengundi yang memilih MPP) tidak mahu MPP lakukan.

Bertitik tolak dari situ, saya mula memahami bahawa antara perkara yang mahu dilihat oleh mahasiswa UIAM adalah keupayaan saf kepimpinan MPP yang mampu bekerja secara profesional merentasi sempadan politik dan ideologi. Mereka mahukan perkara ini dibuktikan dalam dua aspek iaitu kerjasama erat dalam kalangan perwakilan yang dipilih dan juga kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pentadbiran universiti. Mereka tidak kisah kumpulan mana sekalipun yang menang asalkan tugas MPP dijalankan dengan baik dan cemerlang.

Alhamdulillah, setahun telahpun berlalu dan hasilnya telah berjaya dituai. Pelbagai produk telah kami hasilkan untuk mahasiswa berkat semangat kesatuan #StandAsOne yang kami tanam dan pupuk sejak dari awal. Kerjasama merentasi pandangan politik ternyata sangat membuahkan hasil dan disukai oleh pelbagai kumpulan mahasiswa. Wufi (Pro-Mahasiswa) yang memperoleh majoriti kerusi dalam pilihan raya kampus 2015 ternyata tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan perwakilan bukan wufi yang menang. Malahan, kehadiran perwakilan bebas dan perwakilan pelajar antarabangsa sangat dihargai dan dihormati hak mereka. Jujur saya katakan bahawa pandangan mereka sangat saya nanti-nantikan setiap kali di meja perbincangan kerana saya yakin kepelbagaian sudut pandangan akan mematangkan lagi keputusan yang hendak dibuat. Semangat tolong-menolong, saling menyokong dan bertoleransi telah menjadi magnet yang merapatkan kami sebagai satu kumpulan yang utuh.

Selain itu, impak positif juga dapat dilihat melalui hubungan baik dengan pihak pentadbir. Pelbagai isu telah berjaya diselesaikan dan variasi program dan projek demi kemaslahatan mahasiswa telah berjaya dan sedang dilaksanakan. Sangkaan sebelum ini yang mengatakan bahawa MPP yang diterajui Wufi (Pro-Mahasiswa) tidak akan berjaya menghasilkan hubungan yang baik dengan pihak pentadbir ternyata meleset sama sekali. Sikap terbuka dan bertolak ansur menjadi prinsip yang mempertemukan kami yang hasilnya dirasai oleh para mahasiswa.

Perbezaan bukanlah penghalang. Bahkan ia merupakan satu hikmah yang wajar dihargai. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak (para mahasiswa, kumpulan-kumpulan mahasiwa dan pihak pentadbiran) yang menerima baik kepimpinan ‘kerajaan campuran pimpinan Wufi (Pro-Mahasiswa)’ dalam MPP UIAM 2015/2016. Ia telah menandakan era baru politik kampus. Budaya politik matang dan sejahtera adalah jawapan yang kita cari selama ini, dan ia adalah masa depan landskap politik kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published.